THYROID : KENALI PUNCA, SIMPTOM DAN KESANNYA..ADAKAH IANYA MEMBAHAYAKAN ? - CINTA HATI SAYA

Tuesday 27 March 2018

THYROID : KENALI PUNCA, SIMPTOM DAN KESANNYA..ADAKAH IANYA MEMBAHAYAKAN ?

Assalammualaikum.



 Tiroid merupakan kelenjar berbentuk rama-rama yang terletak dibahagian hadapan leher. Ianya mengeluarkan hormon tiroid yang berfungsi memberikan tenaga dan metabolisme. Masalah utama yang sering terjadi apabila tiroid kekurangan iodin.

Bila iodin kurang dalam hormon tiroid, akan timbul beberapa masalah seperti kemurungan, berat badan menurun dan kurang bertenaga. Iodin boleh di dapati di dalam makanan seperti yogurt, keju mozarela, kranberi, strawberi, rumpai laut, susu dan telur.



Dalam kelenjar tiroid ini akan mengeluarkan  2 hormon iaitu hormon Tiroksin (T4) dan hormon Triiodotiroksin (T3). Selepas dirembes keluar dari kelenjar tiroid, jumlah T4 yang banyak akan ditukarkan kepada T3, yang merupakan hormon yang paling aktif daripada segi biologi dalam memberi kesan metabolisme ke atas sel-sel badan. Dengan metabolisme tinggi, anda mungkin berasa panas dan sebaliknya. Jadi kelenjar tiroid membantu fungsi badan berjalan pada kadar selamat dan berkesan. Kawalan kelenjar ini dilakukan oleh kelenjar pituitari pada otak, melalui hormon.

Apabila aras hormon tiroid tinggi, akan timbul penyakit hipertiroidisme dan jika aras hormon terlalu rendah, penyakit hipotiroidisme pula berlaku. Penyakit lain seperti diabetes mellitus juga boleh mengganggu pengeluaran hormon tiroid.

Masalah tiroid boleh diklasifikasikan kepada 2 kumpulan utama iaitu :
1. Berpunca daripada fungsi penghasilan hormon tiroid yang tidak normal iaitu :
i - Hipertiroidisme (kelenjar tiroid terlebih aktif). Penyebab utama adalah seperti penyakit Graves, goiter multinodular toksik, nodul tiroid yang menghasilkan hormon tiroid berlebihan dan pengambilan iodin secara berlebihan
 
ii - Hipotiroidisme (kelenjar tiroid kurang aktif). Antara penyebab-penyebab utama adalah seperti tiroiditis Hashimoto, dan masalah keradangan pada kelenjar tiroid (tiroiditis)

2 .Masalah yang berpunca daripada struktur kelenjar tiroid itu sendiri
 
i - Goiter merupakan suatu keadaan di mana kelenjar tiroid membengkak, tetapi ianya bukan penyakit. Ianya boleh mempunyai gejala-gejala hipertiroidsme, hipotiroidisme ataupun eutiroid (fungsi tiroid yang normal).
 
ii - Nodul tiroid ialah ketulan yang abnormal di dalam kelenjar tiroid dan boleh disebabkan oleh ‘benign cysts’ dan ‘benign tumor . Ianya boleh terdapat satu nodul ataupun berbilang. Apabila nodul terlalu besar, ia boleh menekan struktur-struktur berhampiran dan boleh menyebabkan gejala seperti kesukaran bernafas atau suara menjadi kasar.

iii - Barah tiroid adalah lebih banyak berlaku di kalangan wanita dewasa jika dibandingkan dengan lelaki ataupun remaja. Terdapat beberapa jenis barah tiroid. Ia bergantung kepada jenis sel barah itu berasal. Ianya boleh terjadi apabila terdapat gejala-gejala seperti ketulan pada kelenjar tiroid, suara menjadi kasar, kesukaran bernafas atau menelan, noda-noda  limfa yang membengkak di bahagian leher, batuk atau sakit tekak yang berterusan dan sakit pada leher yang berterusan.


SIMPTOM-SIMPTOM 




Hipertiroidisme merupakan keadaan di mana kelenjar tiroid terlebih aktif dengan menghasilkan hormon tiroid yang berlebihan. Gejala-gejala hipertiroidisme adalah seperti :
  1. Tangan menggeletar (tremor)
  2. Rasa gementar
  3. Degupan jantung yang laju
  4. Mudah berpeluh dan panas
  5. Susut berat badan
  6. Lesu dan cepat berasa letih
Hipotiroidisme merupakan keadaan di mana kelenjar tiroid kurang aktif dengan menghasilkan hormon tiroid yang rendah. Gejala-gejala hipotiroidisme adalah seperti :
  1. Lesu
  2. Sukar untuk menumpukan perhatian dan tahap pemikiran yang lembab
  3. Kulit kering
  4. Sembelit
  5. Sentiasa berasa sejuk
  6. Pendarahan haid yang banyak dan lama bagi wanita

KESAN-KESAN 

Hipotiroidisme yang tidak dirawat boleh mendatangkan masalah seperti :
  1. Risiko penyakit jantung kerana kandungan kolesterol yang tidak baik (LDL) akan meningkat.
  2. Masalah mental seperti kemurungan dan pemikiran yang lembab.
  3. Masalah saraf seperti kebas-kebas dan sakit-sakit di bahagian saraf yang terlibat.
  4. Myxedema – merupakan keadaan yang serius dan boleh meragut nyawa di mana pesakit boleh datang dalam keadaan koma.
  5. Masalah kemandulan bagi wanita (infertiliti).
  6. Masalah perkembangan dan tumbesaran bayi dalam kandungan daripada segi fizikal dan mental.
Hipertiroidisme yang tidak dirawat boleh mendatangkan masalah seperti :
  1. Masalah jantung seperti “atrial fibrillation” dan lemah jantung boleh terjadi akibat degupan jantung yang terlalu laju dan tidak terkawal.
  2. Masalah tulang rapuh (osteoporosis) akibat gangguan ke atas metabolisme kalsium di dalam badan.
  3. Masalah mata boleh berlaku bagi penyakit Grave di mana bola mata akan terbonjol, merah dan bengkak.
  4. “Thyroid storm”- keadaan yg amat serius dan boleh meragut nyawa di mana terdapat gejala-gejala seperti demam panas, denyutan jantung yang laju dan keadaan tidak sedarkan diri.

Jadi, kita seharusnya peka terhadap setiap anggota tubuh badan kita untuk mengenalpasti akan kewujudan sesuatu penyakit.Nanti saya akan sharekan tentang cara mengatasinya.






No comments:

Post a Comment